Paracrypt Research and Study Group
Terdiri dari para pengkaji dan penyelidik bebas (freelancer) yang berpusat di Miri, Sarawak. Merungkài sejarah serta legenda tempatan serta kajian ilmiah
Alhamdulillah, hari ini Syawal ke 13, team PRSG telah membawa PRSG team advisor dan salah seorang freelance researcher Mr Sherman Bourne melawat ke British Pillbox dan ammo bunker, serta melawat kubur tentera anggota punjab dari 2/15th punjab regiment yang dikebumikan di tapak yang kini menjadi tanah perkuburan Islam Batu 1. Selain itu Advisor team dan Mr Sherman Bourne turut dibawa oleh PRSG team ke beberapa lokasi untuk yang didakwa oleh warga tempatan sebagai kubur jepun namun setakat ini masih lagi dalam kajian pihak PRSG team. Dalam pertemuan singkat hari ini selama beberapa jam, semua ahli sempat bertukar pandangan berkaitan pensejarahan Bandaraya Miri yang perlu diketengahkan dan diperbetulkan faktanya yang banyak tersasar dari asal. Syukur akhirnya kerjasama dan info sharing dikalangan historical researcher seperti kami ini dapat diperkembangkan dan terima kasih pada Mr Sherman Bourne dan advisor kami yang datang jauh dari selatan untuk bertemu dengan PRSG team dan berkongsi info.
Asalamualaikum dan Salam Syawal Ke 12... Memeriahkan Hari Lebaran 2024 kami para admin dan team ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua dan maaf zahir batin sekiranya ada tersilap dan tersalah kata sepanjang kami menjalankan kajian sejarah dan legenda serta paranormal di Miri. Semoga warga miri akan terus menyokong kami di Paracrypt Research and Study Group sebagai team pertama seumpamanya yang menjalankan kajian ilmiah secara profesional di bumi Miri bersejarah.
Salam Lebaran 1445H dari kami team PRSG Miri.
Asalamualaikum wbt dan Salam Aidilfitri pada semua followers dan readers....dalam kegembiraan kita semua menyambut Aidilfitri, admin sedih bila melihat salah satu yapak sejarah sekarang hampir menjadi hutan taknterjaga dan terbiar....hari ini admin sempat ke Tanjung Lobang dan melihat tapak perkuburan lama Jatti Miriek dan Kedayan di kaki bukit Tanjung Lobang serta bersebelahan rumah Sri Tanjung....kedua duanya seolah takde dah kepentingan....ada pun NGO yang sepatutnya berusaha untuk mendapatkan hak Authority tapi seperti dah sendu...paling sedih melihat dihadapat tapak kubur lama Islam di kaki bukit Tanjung bersebelahan warung makanan telah dibina kuil....bukan racis tapi apa yang cuba admin smpaikan adalah apa fungsi NGO dan persatuan tempatan dalam menjaga dan memulihara tapak perkuburan Islam di situ dan yang terletak di atas bukit.....tak mustahil jika saru hari nanti mungkin ada segelintir pihak tak bertanggungjawab akan menjadikan tempat tersebut sebagai tempat pembuangan sampah atau sisa..jadi persoalannya....dimana NGO yang sepatutnya....dan apa tindakan Majlis...adakah hanya pentingkan poket dan tempat lain? Tepuk dada tanya sendiri...
Asalamualaikum dan Salam Lebaran buat semua followers dan readers setia PRSG. Kami dari barisan admin PRSG ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, followers dan readers dan terima kasih atas sokongan yang diberikan selama ini kepada PRSG. Semoga page ini terus menjadi page rujukan dan bacaan santai kepada yang meminati sejarah dan legenda serta mistik. Terima kasih sekali lagi kepada semua. Salam Lebaran Minal Aidin Wa Faidzin, Maaf Zahir Batin
Asalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua followers dan supporters yang dihormati dan disayangi. Pertama sekali pihak admin menyusun sepuluh jari kerana agak lama tak ber'posting' tentang research dan kisah kisah misteri di page PRSG disebabkan sibuk dengan operasi banjir dan bencana, dan ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2024 kepada semua dan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua warga yang bakal merayakannya pada Februari akan datang.
Untuk ringkasan info pada kali ini, admin ingin berkongsi beberapa info berkaitan kisah kampung misteri yang masih lagi dalam fail lama kajian PRSG pada tahun 2010, dan telah lama terlepas pandang. Dikatakan kampung kecil ini dikenali sebagai Kampung Bukit atau Kampung Ukit yang dikatakan pernah wujud di sebuah kawasan di daerah daerah Miri (sekitar kawasan Marudi-Miri). Kampung ini dikatakan ianya telah lama ditinggalkan dan akhirnya hilang, dan menurut ceritanya ianya disebabkan oleh beberapa insiden yang berkait rapat dengan misteri dan mistik yang berlaku pada komuniti kampung tersebut pada sekitar pertengahan kurun ke 18.
Turut diceritakan kampung tersebut pernah wujud sewaktu zaman pemerintahan kesultanan Brunei dan salah satu kisah misteri dan mistik yang diceritakan adalah berkaitan sebuah bukit kecil yang dikatakan amat 'keras' atau 'berpuaka' dan ada yang mendakwa terdapat beberapa kisah tentang sekump**an manusia bertubuh besar dan berpakaian seperti panglima kuno yang dikatakan penjaga bukit berkenaan, selain dari kisah buaya putih di sungai Baram yang dikaitkan dengan kampung tersebut dan yang paling menarik ianya ada berkait rapat dengan kisah Raja Tapah.
InsyaAllah admin akan kongsikan kepada para followers dan readers setia PRSG dan jika ada yang pernah mengetahui kisah ini boleh sama berkongsi pada semua di ruangan komen.
Tunggu update kisahnya insyaAllah. Salam hujung minggu pada semua
Admin
Asalamualaikum dan Salam Sejahtera serta Salam Jumaat kepada semua followers dan readers yang setia. Terasa agak lama tidak updating current activities PRSG, dan sebenarnya kami semua masih terikat dengan tugas-tugas hakiki masing masing disebabkan ada diantara kami masih lagi berkhidmat di sektor tertentu di jabatan kerajaan malah ada yang di sektor swasta. Dan atas sebab kesibukan tersebut selaku salah seorang barisan admin, kami ingin memohon maaf atas kurangnya posting berkaitan kajian dan aktiviti PRSG.
Untuk makluman, kami sedang dalam rangka penulisan untuk menghasilkan sebuah buku yang kami rasa lebih mirip kepada jurnal kajian WW2 sepanjang kami mula ditubuhkan dari tahun 2000 dan insyaAllah kami akan kongsikan pada semua warga Miri apabila selesai melalui beberapa proses untuk mengelakkan dari di'lanun' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, 'jurnal' ini akan menghidangkan banyak informasi berkaitan sejarah Perang Dunia Kedua di Miri serta tapak tapak sejarah samada yang masih lagi kekal mahupun yang telah musnah.
Disini dikongsikan wajah muka depan jurnal yang sedang dalam proses penulisan dan beberapa proses lagi namun kami watermark untuk mengelakkan dari di'hijack' oleh lanun-lanun moden. InsyaAllah segala yang pernah dikongsikan kepada PRSG dari para penyumbang maklumat serta kajian yang kami pernah jalankan akan dimuatkan dalam jurnal kerdil kami ini. Teruskan menyokong PRSG dalam usaha merungkai sejarah Bandaraya Miri dan InsyaAllah kami akan berkongsi maklumat kepada semua readers dan followers setia kami.
Terima kasih dari kami
Admin PRSG
Perkongsian tapak Battle of Muar Johor sewaktu perang dunia kedua. Disinilah tempat dimana POW yang terdiri dari tentera Australia dan Punjab ditembak diatas jambatan dan mayat mereka kemudian dibakar dan dilenyek serta dijadikan campuran untuk membuat jalan oleh tentera Jepun. Bangunan yang dahulunya adalah Barrack tentera Punjab telah dijadikan sebagai penjara POW oleh tentera Jepun. Pada mulanya admin harap dapat melawat galeri perang Parit Sulong tapi malangnya galeri berkenaan tutup, maka admin hanya sempat berkongsi foto foto yang sempat dirakam di tapak kawasan bersejarah ini.
Melihat inisiatif yang dilakukan oleh penduduk tempatan dan pihak pentadbiran daerah di Batu Pahat dan Parit Sulong terhadap tapak sejara in, admin membayangkan kalaulah Bandaraya Miri dapat mengekalkan khazanah perang dan memulihara bekas bekas tapak yang berkaitan WW2 di Miri alangkah bagus untuk lawatan para pelancong dan sebagai kajian sejarah oleh pelajar pelajar sekolah dan universiti serta para pengkaji tempatan...
Kesan sejarah yang ada sekarang pun umpama hidup segan mati tak mau terbiar tanpa terpelihara dan hanya Grand Old Lady sahaja hang diambil peduli sedangkan banyak lagi kesan sejarah di Miri yang terus hilang.
Walaupun PRSG hanyalah satu research group yang kecil, tapi kami percaya biarpun usaha kami hanya umpama debu ditepian jalan, tetapi sejak kami memulakan perjalanan mengkaji sejarah dan legenda serta mitos yang tersimpan di bumi Miri, ada juga kesedaran serta mula lahir vlogger tempatan yang mula menjejak tapak tapak yang pernah kami siarkan secara rasmi di laman youtube kami. Namun malangnya ada yang tidak menghuraikan secara fakta dan bukti dan menggunakan assumption and wild guess maka berlaku kekeliruan pada sejarah asal tapak dan lokasi yang cuba dibuat sebagai content oleh pihak pihak tertentu.
Semoga followers kami yang setia dan freelance researcher PRSG dan supporters kami akan terus menyokong usaha kami di PRSG untuk menjejak dan merungkai sejarah WW2 di Miri serta kawasan luar yang dikaitkan dengan WW2
Terima kasih semua.
Alhamdulillah sempat menyinggah ke makam pahlawan dan pejuang di zaman darurat di Bukit Kepong, Muar Johor. Sekarang berada di Johor untuk tugas rasmi selama beberapa hari dan mengambil kesempatan untuk melawat beberapa tempat sejarah di sini yang berkaitan perang.
Salah satu sejarah yang terpelihara di Muar adalah sejarah perjuangan anggota polis yang menentang pengganas komunis dalam peristiwa Bukit Kepong yang digelarkan 'Malaysian Alamo'...
Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara .. Al Fatihah buat para syuhada Bukit Kepong...
Asalamualaikum WBT, salam sejahtera kepada semua followers dan readers serta researchers. Terima kasih kerana terus menyokong dan memberikan feedback kepada kami di PRSG berkaitan segala kajian serta info dan artikel yang kami kongsikan kepada semua.
Pada artikel ringkas pada kali ini, admin ingin berkongsi tentang salah satu tapak perkuburan lama yang telah hilang dan admin percaya tidak semua yang mungkin mengetahui kewujudan tapak perkuburan lama yang terletak di tebing Sungai Lutong ini. Tiada siapa yang tahu nama tapak kuburan Islam lama ini yang terletak di tebing sungai berhampiran laluan Pujut Lutong berbanding tapak kuburan lain seperti Merapak, Tab Sina, Sg Baong dan yang lain namun tapak kuburan ini sememangnya wujud dan sebelum ini sekitar tahun 80an masih dapat terlihat kayu kayu nisan yang terpacak di kawasan ini, akan tetapi disebabkan hakisan sungai maka banyak kubur kubur lama telah terhakis kedalam sungai, dan dikatakan satu dinding tembok telah dibina berhampiran tebing sungai di tepi kawasan perkuburan berkenaan bagi mengelakkan kawasan kubur tersebut semakin terhakis
Mengikut info orang orang lama, dahulunya sekitar 50an tapak kubur Islam ini digunakan untuk mengebumikan warga penduduk Jati Meirek dari kawasan berhampiran dan disebabkan kawasan yang terhad maka akhirnya ia ditinggalkan, dan salah seorang moyang admin juga dikebumikan disitu pada sekitar 50an. Tidak dapat dipastikan berapa jumlah kubur lama di tapak berkenaan akan tetapi dipercayai dalam sekitar 30 ke 40 orang dan ada diantaranya yang dikebumikan di situ didakwa merupakan mangsa perang Jepun. Sejauh mana dakwaan berkenaan tidak dapat dipastikan.
Kini tapak perkuburan lama Islam berkenaan telah ditumbuhi belukar tebal dengan pepohon besar serta semak samun serta ditenggelami air dan jika ingin membuat tracing sedikit sukar disebabkan keadaan kawasan sekitar yang telah menjadi paya kecil. Mungkin jika kawasan berkenaan kering potensi untuk menjejak kesan kesan kuburan lama dapat dijalankan walaupun terpaksa meredah belukar tebal.
Mungkin ada diantara readers dan followers yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga yang pernah dikebumikan disitu dapat berkongsi kepada kami di PRSG dalam merungkai sejarah kubur berkenaan. Semoga paparan ringkas kali ini memberikan maklumat kepada warga baharu tentang sejarah kewujudan tapak perkuburan lama yang mempunyai sejarah tersendiri yang menjadi saksi bisu perkembangan Miri semenjak penemuan minyak petroleum di awal 1900an.
Sekian sahaja dari kami di admin PRSG dan nantikan paparan selanjutnya akan datang tentang tangga yang dikatakan mempunyai 'penunggu' dan kawasan tersebut dikaitkan dengan era perang Dunia Kedua. Teruskan menyokong kami di PRSG. Sekian
Asalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua readers dan followers setia PRSG yang sentiasa menyokong page kami ini. Sesungguhnya tanpa para readers dan followers serta freelancer yang sentiasa menghantar perkongsian mahupun maklumat untuk kajian kami researcher di PRSG pastinya kami tidak dapat berkongsi kisah kisah legenda, seram dan sejarah berkaitan Bandaraya Miri.
Servis penghantaran makanan atau 'food delivery service' pastinya bukan perkara baharu bagi setiap orang. Kehadiran mereka yang tanpa mengenal erti lelah dan penat demi mencari rezeki setiap hari turut berjasa bagi mereka yang juga memerlukan khidmat penghantaran makanan dikala menghadapi kesibukan bekerja dan paling ketara adalah ketika musim PKP yang lalu dimana para abang abang rider kita banyak membantu dalam membuat penghantaran makanan yang dipesan ke pintu rumah kediaman.
Pada kali ini, PRSG ingin berkongsi satu pengalaman yang dikongsikan oleh seorang rider bernama Faizal yang telah menghubungi admin untuk berkongsi satu pengalaman seram sewaktu beliau menghantar pesanan makanan di salah satu kawasan perumahan di Miri pada 2022 yang lalu. Menurut beliau yang berasal dari Bintulu dan telah menetap hampir 5 tahun di Miri, ketika itu beliau baharu sahaja menerima pesanan untuk menghantar makanan ke sebuah kediaman di kawasan Tanjung Lobang pada sekitar jam 1030 malam. Pada mulanya menurut Faizal, tiada apa apa yang pelik yang berlaku dan seperti biasa beliau kemudiannya mengambil pesanan dan memasukkannya kedalam beg diatas motorsikal miliknya
Sewaktu tiba di pintu hadapan rumah, beliau mula menelefon pemesan makanan untuk mengambil makanan disebabkan rumah berkenaan terletak lebih kedalam dan pagar rumah sedikit jauh dari rumah berkenaan. Menurut beliau lagi, selepas menunggu sekitar 5 minit, seorang lelaki yang kelihatan seperti warga berbangsa Inggeris sekitar 50-60 tahun membuka pintu rumah dan kemudian berjalan perlahan dalam keadaan berdengkot (terhincut hincut) kearah beliau dan mengambil pesanan tersebut sambil menghulurkan duit bayaran. Setelah memulangkan duit baki beliau kemudiannya menghidupkan motor dan bergerak menuruni bukit. Namun beliau kemudiannya menghentikan motorsikalnya di bahu jalan bersebelahan KFC dan tiba tiba terfikir tentang rupa pelik pelanggan yang mengambil pesanan tadi.
Menurut Faizal, sewaktu lelaki Inggeris berkenaan mengambil pesanan yang sampai, wajahnya seperti pucat dan tidak bercakap sepatahpun dan hanya menyerahkan wang bayaran. Kemudian selepas menerima baki, dia memalingkan badannya dan tidak seperti orang biasa yang pasti akan memalingkan kepala dahulu namun lelaki Inggeris tersebut seperti kaku dan memalingkan tubuhnya serentak seperti patung dan menurut Faizal lagi pakaian yang digunakan seolah olah bukan cara pemakaian orang zaman sekarang dan seolah olah seperti pakaian ala ala kolonial. Dengan rasa ingin tahu, Faizal kemudiannya berpatah balik menuju ke rumah yang terletak di atas bukit berkenaan untuk mendapat kepastian apa yang dilihat oleh beliau sebentar tadi kerana apa yang beliau pernah diberitahu, kediaman berkenaan kosong dan jika adapun hanya penjaga rumah atau pengawal keselamatan yang bertugas, dan lagi telah lama tidak dihuni.
Ketika melalui kawasan kediaman berkenaan, beliau menoleh ke arah pintu pagar berkenaan dan menurutnya rumah berkenaan agak suram dan hanya diterangi lampu yang dipasang di bahagian luar bangunan dan tidak menunjukkan ianya beroperasi atau dihuni. Dan sewaktu beliau berpatah balik menuruni bukit berkenaan, beliau telah kemalangan dan mujur tiada kenderaan yang lalu pada ketika itu. Menurut Faizal, beliau terbabas akibat terkejut apabila lelaki Inggeris tadi yang ditemuinya tadi kini berdiri ditengah tengah jalan dengan pakaian seperti penuh dengan kesan darah dan yang paling menyeramkan yang tidak dapat dilupakan Faizal, lelaki berkenaan berdiri sambil memegang kepalanya dengan mata merenung tajam dengan senyuman mengerikan
Sejak malam itu, beliau telah jatuh demam selama 3 hari dan akhirnya beliau berhenti dari menjadi penghantar makanan dan menurutnya lagi, kini beliau telah kembali ke Bintulu dan bekerja sebagai pemandu lori syarikat perabot.
Mungkin ada diantara abang abang rider yang menjadi followers ingin berkongsi kisah seram dan pengalaman seram semasa bertugas menghantar makanan untuk dikongsikan kepada kami di PRSG dan jika ada, bolehlah menghantar kisah anda ke email kami atau menghubungi kami di inbox.
Nota tambahan untuk para readers,
Rumah kediaman yang dimaksudkan oleh saudara Faizal adalah bangunan kediaman Sri Tanjung yang terletak diatas bukit. Berdasarkan sejarah, rumah berkenaan pernah menjadi kediaman pihak British dan juga menjadi markas Tentera Jepun dan menurut sumber yang diperolehi sebelum ini, rumah berkenaan juga merupakan tempat pihak Tentera Jepun menyiksa dan memancung tawanan perang dan turut menyimpan kosah kisah seram. Wallahualam. Sekian.
Foto adalah sekadar hiasan
Asalamualaikum dan salam Aidilfitri ke 9 kepada semua followers serta readers dan freelancers.
Dalam kesempatan kali ini, admin ingin berkongsi keadaan salah satu historical site yang terletak di tebing Sungai Lutong berhampiran laluan masuk ke Kg Pengkalan iaitu tapak wharf yang menghubungkan wharf point di bahagian seberang sungai berhampiran jambatan...dan video tracing wharf berkenaan pernah disiarkan dalam Vlogs rasmi PRSG sebelum ini.
Wharf Perang Dunia Kedua
Sewaktu admin menjalankan tracing di lokasi, admin berjaya menemukan beberapa kesan tinggalan puing atau bekas tiang wharf berkenaan, dan berpandukan kepada foto yang pernah dikongsikan oleh salah seorang admin yang merupakan seorang pesara guru, keadaan tidak jauh berbeza cuma ketika admin membuat tracing, admin tidak dapat membuat ukuran pada pelantar simen disebabkan keadaan air pasang di sungai Lutong. Selain itu juga, terdapat binaan baharu iaitu dinding longkang yang dibina tidak jauh dari lokasi tapak bagi mengalirkan aliran air longkang dari kawasan berhampiran.
Tidak jauh dari lokasi tapak terdapat binaan konkrit berbentuk segiempat, namun admin tidak pasti ianya adalah konkrit dari zaman era perang disebabkan kesulitan untuk pergi kearah bongkah konkrit berkenaan.
Walaupun tidak banyak yang dapat admin rakam dan tiada kesempatan untuk mendapatkan ukuran, namun apa yang admin agak sedih adalah kesan kesan tapak sejarah seperti ini terus dibiarkan musnah dan hilang tanpa ada pihak yang berminat untuk memulihara untuk dijadikan tapak POI (point of interest) berkaitan sejarah dalam peta Miri. Yang ada pun hanyalah Telaga Minyak No 1 dan kubur Mass Grave di St Columba, manakala tapak yang lain terbiar dan dilupakan disebabkan mungkin tidak mendatangkan keuntungan. Sepertimana admin pernah menyatakan dalam posting posting sebelum ini, jika ditanya warga Miri tentang kawasan sejarah, semua akan menyebut 2 tempat sahaja manakala yang lainnya hanya tinggal cerita verbal disebabkan tiada kesan yang tinggal. Sampai bilakah pengurusan Miri akan membiarkan tapak tapak yang berpotensi dijadikan POI untuk tourist visit ini hilang dan terus musnah...tepuk dada tanya diri sendiri.
Rumah Berhantu Kg Telaga Air Kuching
Asalamualaikum wbt dan salam sejahtera, salam Aidilfitri ke 6 kepada semua followers dan readers serta researchers. Pada posting kali ini, admin ingin berkongsi berkaitan kisah sebuah rumah kosong yang terletak di tepi sungai yang didakwa agak 'keras' dan 'berhantu' oleh warga setempat namun sejauh mana dakwaan tersebut tidaklah dapat disahkan namun kewujudan rumah ini pernah menjadi dijadikan perbualan warga kampung sewaktu ianya dibina.
Menurut kisah yang dikongsikan oleh salah seorang penduduk kampung Telaga Air, rumah ini dibina untuk tujuan penggambaran filem seram 'Hantu Bangkit' ada yang mengatakan filem 'Bangkit Hantu' yang dibuat oleh sebuah produksi tempatan, namun penggambaran tersebut tidak selesai dan tergendala disebabkan arahan PKP sewaktu Covid 19 yang melanda negara sehinggalah sekarang dan rumah yang dibina tersebut terus usng dan sebahagiannya telah roboh.
Dikatakan sewaktu proses penggambaran, krew produksi pernah mengalami kisah seram dimana didakwa pada satu sesi penggambaran malam, krew yang bertugas telah diganggu oleh lembaga seperti pocong yang berdiri tidak jauh dari mereka dan menyebabkan krew panik dan memberhentikan penggambaran dan ada juga yang mendakwa sepanjang penggambaran diwaktu malam, mereka seringkali terasa seram dan seolah oleh diperhatikan oleh makhluk yang menyerupai pontianak didalam belukar berhampiran.
Sejauh mana dakwaan berkenaan tidaklah dapat dipastikan namun admin sempat ke lokasi berkenaan untuk meninjau keadaan rumah yang dikatakan berhantu tersebut sewaktu hendak ke Miri. Turut dikongsikan kepada readers dan followers foto foto yang sempat diambil oleh admin sewaktu berada di rumah usang yang dibina untuk tujuan penggambaran filem seram 'Hantu Bangkit' (ada mengatakan 'Bangkit Hantu'). Kepada yang mempunyai info sebenar disebalik kisah rumah ini bolehlah berkongsi kepada semua di ruang komen. Sekian terima kasih.
Salam Aidilfitri ke 6 dari admin
5th Day Aidilfitri...meetup with our PRSG tech advisor in Kuching... berbagai isu dibincangkan current research project untuk Northern Zone WW2, Myth and Legends...InsyaAllah akan ada satu major activities PRSG akan buat untuk Local Legends dan WW2 Facts on Miri...
Ikuti aktiviti PRSG menjejak kesan kapal pengangkut tentera Jepun yang karam di Tanjung Lobang
Menjejak kesan kapal pengangkut Tentera Jepun Perang Dunia II Pada 16 Disember 1941, tentera Jepun telah mendarat di pantai Tanjung Lobang dan seterusnya menawan rumah api dan balai polis Tanjung Lobang. Dalam pendarata...
Video menjejak kubu Jepun untuk perkongsian dengan semua. Teruskan menyokong dan terima kasih kerana follow page kami dan vlogs PRSG
Siapa tak menyukai pantai, tentunya jika ditanya pada orang orang yang kita temui rata rata majoriti akan memberikan jawapan yang sama ‘mestilah suka’. Miri tidak terkecuali dalam senarai Bandaraya yang memiliki kawasan pantai yang cantik dan menjadi tarikan pengunjung bukan hanya warga tempatan akan tetapi dari luar kawasan dan daerah. Pantai pantai yang terkenal adalah seperti Pantai Tanjung Lobang (Brighton Beach), Pantai T***n, Pantai Bungai, Pantai Peliau, Pantai Batu 1, Pantai Hawaii Beach, Pantai Lutong serta beberapa kawasan pantai lagi yang tidak kurang hebatnya dan yang terkini adalah pantai buatan manusia iaitu Pantai Coco Cabana, yang mana pada asalnya adalah laut dan ditembok untuk pembinaan Marina Bay Miri. Namun begitu, 2 daripada pantai yang disenaraikan kini semakin rosak dan terhakis teruk, iaitu Pantai Lutong dan Pantai Tanjung Lobang, akibat dari pertukaran atau fenomena shift current, kesan dari perubahan cuaca global dan juga side effect dari pembinaan tembok dari batuan granit yang dibina oleh pihak pengurusan Bandaraya Miri yang memanjang kearah laut yang digelar benteng dan akhirnya membentuk vortex current dan menghakis pantai tanpa disedari.
Kalau sebelum ini, admin pernah berkongsi cerita berkaitan Pantai Tanjung Lobang menagih darah dan beberapa kisah misteri yang berlaku kepada team PRSG sewaktu membuat kajian sejarah WW2 di sana, tetapi pada kali ini admin ingin berkongsi berkaitan satu kisah misteri atau mungkin boleh dikategori sebagai kisah seram yang berlaku pada 2022 dimana pada ketika itu admin bersama rakan admin dari Kuala Lumpur sempat membuat site visit ke Marina Bay dimana terletaknya patung kuda Laut yang menjadi ikon Bandaraya Miri. Tetapi sebelum itu, pihak PRSG secara tegas menyatakan artikel ini bukanlah untuk menakut nakutkan pengunjung akan tetapi hanya sebagai kisah misteri yang kebetulan berlaku keatas admin dan rakan rakan admin pada ketika itu ketika membuat site visit ke lokasi atas saranan dan maklumat dari pengunjung tempatan.
Coco Cabana, sebuah lokasi yang kini semakin terkenal dengan pengunjung yang ingin menikmati pemandangan matahari terbenam disamping menikmati angin laut yang dingin dan nyaman terutamanya di malam hari dan pada malam hari p**a ramai pengunjung akan berkunjung ke situ bersama ahli keluarga, pasangan dan rakan rakan dan riadah berbasikal di kawasan sekitar Marina Bay. Seperti pengunjung lainnya, admin dan rakan admin- Khairul@Erul dan Azam yang kebetulan juga meminati kajian mistik dan sejarah yang berasal dari Kuala Lumpur telah berkunjung ke Coco Cabana dengan tujuan untuk bersantai dan melepak, disamping membuat site visit dan site assessment di sekitar kawasan tugu kuda laut dimana dikatakan pernah berlaku kejadian seram dan misteri oleh seorang local visitor yang mendakwa pernah terlihat kelibat seram seperti bayangan hitam dan ada yang mengatakan seperti kelibat seperti wanita berpakaian putih hilang di kawasan tersebut terutamanya kawasan berhampiran tandas pada waktu malam. Memandangkan kami pada waktu itu tidak membawa apa apa peralatan dan hanya sekadar melihat lihat dan cuba mendapatkan beberapa maklumat ‘raw information’ maka tiada sebarang rakaman video atau equipment recording yang dilakukan. Kejadian tersebut bermula apabila sewaktu kami tiba dan meronda di sekitar tugu kuda laut yang berdiri gagah di tidak jauh dari bangunan seperti dewan pada sekitar jam 930 malam dan sewaktu kami tiba di lokasi, terdapat beberapa orang pengunjung kelihatan duduk bersantai di kawasan platform dan ada yang bersantai di tepi tembok batu granit. Pada mulanya memang tiada apa apa yang aneh dan pelik yang kami rasakan, namun setelah menghabiskan masa lebih kurang setengah sejam lebih di kawasan sekitar, perlahan lahan pengunjung mula beredar dan hanya tinggal kami bertiga yang masih duduk sambil berborak di kawasan berbatu disitu sambil menikmati angin dingin dari laut.
Sewaktu kami berborak berkaitan kajian WW2 di Malaysia, Erul tiba tiba menyuruh admin dan rakan admin Azam untuk senyap dan memasang telinga. Menurut Erul dia terdengar seperti bunyi wanita sedang menyanyi dengan suara halus tidak jauh dari tempat kami berada. Pada mulanya Azam menafikan dan mengatakan mungkin suara nyanyian tu dari pekerja kawasan bangunan tersebut atau bunyi desiran angin dan ombak laut yang disalah tafsir oleh pendengaran Erul, namun Erul memberitahu suara tersebut yang didengarnya bukan dari arah bangunan di sebelah kami atau bunyi desiran angin apatah lagi bunyi gelombang akan tetapi dari arah berhampiran dan seperti seolah olah bunyi wanita sedang menyanyi perlahan mendodoikan anak. Kami bertiga kemudiannya diam dan cuba mengesan bunyi wanita tersebut seperti yang didakwa oleh Erul namun tidak kedengaran sebarang bunyi dan hanya bunyi gelombang menghempas batuan dan pepohon Rhu yang ditiup angin, namun selang lebih kurang beberapa minit kemudian, kami terkejut dan terdiam apabila kedengaran dengan jelas bunyi wanita seperti menyanyi mendayu perlahan dari arah laut dan seolah tidak jauh dari tempat kami berada. Secara logiknya, jika ianya datang dari arah bangunan atau mungkin dari suara pekerja seperti yang disangka, persoalannya sekarang tiada sesiapa lagi di kawasan tersebut dan hanya kami bertiga sahaja dan sepatutnya kami telah meninggalkan kawasan tersebut awal tadi disebabkan waktu yang semakin lewat (difahamkan oleh petugas keselamatan di situ, semua pengunjung diminta untuk beredar apabila jam 1030 malam kerana kawasan tersebut akan ditutup).
Kami bertiga kemudian cuba mengesan sekali lagi arah datangnya suara menyanyi tersebut dan ketika sedang merayau mencari di kawasan berhampiran tebing batu granit, Azam menepuk bahu admin dengan wajah seperti ketakutan sambil menunjuk kearah hadapan kami yang kebetulan menghadap ke jajaran tembok batu. Dan apa yang kami nampak pada waktu itu, kelibat lembaga seperti seorang wanita sedang berdiri di atas tembok batu tidak jauh dari deretan pokok Rhu dengan tangan seperti mengendong sesuatu, berpakaian putih lusuh sambil memandang tepat kearah kami dengan wajah pucat dan cekung, dan yang lebih menyeramkan lagi, wanita tersebut seperti terapung tanpa kaki di atas tembok batu berkenaan, dan kemudian hilang seperti kabus nipis. Kami kemudiannya tanpa membuang masa terus berlari meninggalkan kawasan tersebut dengan perasaan berderau menuju ke kenderaan kami yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan tidak jauh dari khemah basikal sewa dan terus menghidupkan kenderaan lalu beredar keluar dari Coco Cabana. Sepanjang perjalanan hingga tiba ke simpang lampu isyarat kami bertiga hanya terdiam dan apabila telah hampir ke kawasan bandar barulah masing masing membuka mulut bersuara. Masing-masing keadaan seperti tidak percaya dengan apa yang kami lihat sebentar tadi dan Azam iaitu rakan admin adalah yang paling kelihatan pucat menggeletar kerana diantara kami bertiga, dialah yang mula perasan dan terlihat lembaga wanita tersebut berdiri di atas tembok batu tidak jauh dari pohonan Rhu sedangkan pada awalnya memang tiada sesiapa pun berada di situ selain daripada kami bertiga.
Tidak dapat dipastikan apa sebenar kisah atau cerita disebalik jelmaan kelibat seram berkenaan dan kaitannya dengan tempat tersebut, mungkin hanya untuk menyakat kami atau terdapat kisah lain yang mungkin pernah berlaku di situ yang mana hanya orang di situ atau pekerja sahaja yang tahu dan kami di PRSG amat mengalu alukan sebarang perkongsian cerita atau pengalaman pengunjung atau pekerja yang ingin berkongsi kepada kami di PRSG. Bersama artikel ini juga, admin tandakan kawasan yang admin dan rakan rakan admin berada pada malam tersebut melalui gambar lokasi yang diperolehi dari internet untuk informasi followers dan readers PRSG. Sekian.